Laman Web Rasmi
A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

PERUTUSAN Y.A.A. KETUA HAKIM SYARIE MELAKA RAMADHAN 2020 / 1441H

ramadhan

PERUTUSAN Y.A.A. KETUA HAKIM SYARIE MELAKA

RAMADHAN 2020 / 1441H

بسم الله الرحمن الرحيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Alhamdulillah ucapan syukur kepada Allah SWT atas nikmat yang tidak terperi, selawat dan salam atas Nabi junjungan kasih yang tidak bertepi, begitu juga kepada ahli keluarganya, para sahabat dan pengikutnya sehingga ke hari kiamat.

Kita sekarang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Mei 2020 atau sehingga ke satu tarikh yang diputuskan oleh pihak Kerajaan. Berdasarkan situasi terkini, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah dapat membantu para petugas kesihatan kita mengawal penularan COVID-19 ke satu tahap yang agak stabil.

Seperti mana yang dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri ialah kita mesti bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini bagi satu tempoh masa yang agak lebih lama. Ianya mungkin berlarutan untuk tempoh beberapa bulan, sebelum kita dapat betul-betul pastikan penularan wabak ini diatasi seratus peratus. Selagi virus ini masih ada, amalan penjarakan sosial mesti diteruskan. Kita mesti sentiasa menjaga kebersihan diri. Elakkan sebarang perhimpunan. Hindari tempat yang sesak.

Ramadhan kali ini sesungguhnya sangat luar biasa dan berbeza. Kita tidak boleh ke bazar Ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa, tidak boleh ke masjid untuk berterawih. Ramadhan tahun ini solatlah bersama suami atau ketua keluarga di rumah, kerana akan wujud imam-imam baru walaupun tidak bertauliah. Mungkin juga kita tidak boleh balik ke kampung untuk menyambut Ramadhan bersama keluarga seperti biasa.

Alangkah sedihnya segala kemeriahan dan kebiasaan itu kita terpaksa lepaskan untuk memastikan rantaian jangkitan wabak berbahaya COVID-19 dapat diputuskan dan ditamatkan. Walaupun sukar untuk kita bayangkan perkara ini, tetapi inilah kenyataan yang akan kita hadapi.

Semoga kita semua terus tabah dan bersabar menghadapi segala kesulitan susulan pergerakan kita seantero dunia kini dikekang dan terbatas. Semoga wabak tersebut segera berakhir di negara kita agar kita dapat kembali menghirup kehidupan normal kemeriahan Ramadhan dan Syawal.

Oleh itu, sebagai umat yang diwarisi al-Quran, marilah kita bersama menghiasi Ramadhan kali ini dengan bertalaqqi, bertadarrus, mentadabbur serta mengambil manfaat sebanyaknya dari Kalam Suci ini. Jadikan bulan ini sebagai bulan kita memaknai hidup dengan al-Quran.

firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.“

Saya ingin berpesan tentang beberapa perkara antaranya berhemahlah dalam berbelanja dan elakkanlah dari melakukan pembaziran. Membeli hanya yang diperlukan dan lazimi bersedekah.

Akhirnya dikesempatan ini, ingin saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan 1441H kepada semua warga kerja Mahkamah Syariah Negeri Melaka khususnya dan kepada Umat Islam umumnya beserta harapan semoga Ramadhan kali ini kita bertambah taqwa.

Sekian, Wassalam.

Syariah Asas Keadilan

Y.A.A. Datuk Mohd Nadzri bin Haji Abdul Rahman
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.

FaLang translation system by Faboba