Laman Web Rasmi
A- A A+
| A A A A |   Arial | PT Sans | Century |

1akses

Perasmian Mahkamah Syariah Sungai Rambai Oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong xv Sultan Muhammad V

4 Mac 2017 | 5 Jamadil Akhir 1438H (Sabtu) - Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) telah melakar sejarah apabila Mahkamah Syariah Sungai Rambai daerah Jasin telah mendapat perkenan untuk dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V. Majlis perasmian tersebut disempurnakan sempena keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 ke Kompleks Kota Al-Hasanah Sungai Rambai pada 4 Mac 2017 yang lepas. Kira-kira 40,000 orang yang menghadiri majlis perasmian tersebut termasuk Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Panel Hakim Rayuan Syariah, pegawai dan kakitangan MSNM, Dif-dif Kehormat serta orang awam dari seluruh pelosok negeri Melaka.

Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Sungai Rambai

Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Sungai Rambai

Majlis bermula pada jam 10.00 pagi dengan ketibaan para jemputan, Dif-dif Kehormat yang disambut oleh YB. Datuk Hassan bin Abd Rahman (Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan), YAA Datuk Haji Mohd Radzi bin Hj Abd Latif (Ketua Hakim Syarie MSNM) dan warga MSNM. Antara dif-dif kehormat yang telah hadir adalah YB Senator Dato’ Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri),  YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Utama Ir. Hj. Idris Bin Hj. Haron, Ketua Menteri Melaka dan TYT Yang Di-Pertua Negeri Melaka Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob kemudian keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tepat jam 11.00 pagi diiringi dengan bacaan selawat oleh pasukan selawat JAIM bersama semua tetamu yang hadir. Rata-rata tetamu yang hadir begitu teruja menyambut ketibaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memandangkan Negeri Melaka merupakan negeri pertama yang dikunjungi baginda sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-XV pada 13 Disember 2016 yang lepas.

Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Sungai Rambai

Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Sungai Rambai

Seterusnya bacaan doa oleh YBhg Sahibus Samahah Datuk Hj. Abdul Halim Bin Tawil, Mufti Negeri Melaka, Ucapan Menjunjung Kasih oleh YAB Ketua Menteri Melaka dan gimik pembangunan kompleks Kota Al-Hasanah Sungai Rambai, Melaka yang disempurnakan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kemudian diikuti dengan keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda ke acara yang ditunggu-tunggu oleh warga MSNM iaitu acara menandatangani plak perasmian Mahkamah Syariah Sungai Rambai dan turut diiringi oleh pasukan selawat dan barisan warga MSNM. Selepas itu, sesi lawatan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung ke dalam Dewan Mahkamah bagi menyaksikan tayangan montaj berkaitan Mahkamah. Sebelum tayangan tersebut, YAA Datuk Hj.Mohd Radzi Bin Abd Latiff, Ketua Hakim Syarie MSNM telah merafak sembah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan persembahan montaj dimulakan.

Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Sungai Rambai

Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Sungai Rambai

Selesai sesi lawatan, sesi bergambar bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan selepas itu santapan rakyat yang diselangi dengan tayangan montaj berkaitan pembangunan Sg. Rambai dan daerah Jasin. Selesai santapan, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung solat Zohor di Masjid Al-Hasanah sebelum keberangkatan pulang KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung pada jam 2.00 Petang dengan iringin doa sekali lagi dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti negeri Melaka.

Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Sungai Rambai

Majlis Perasmian Mahkamah Syariah Sungai Rambai

Fungsi Kompleks Kota Al-Hasanah menjadi lebih komprehensif apabila terbinanya Mahkamah Syariah Sungai Rambai yang mana fungsinya adalah memberi kemudahan kepada warga Sunga Rambai, Sebatu, Merlimau, Tedong, Umbai, Serkam dan Sempang untuk memfailkan apa-apa tuntutan dibawah bidangkuasa Mahkamah Syariah Sungai Rambai. Seluruh warga MSNM merafak sembah dan menjunjung kasih atas keberangkatan KDYMM bagi merasmikan Mahkamah Syariah Sg. Rambai sempena lawatan ke Kompleks Kota Al-Hasanah yang menjadi salah satu mercu tanda di Gerbang Selatan Negeri Melaka.

 

Disediakan Oleh: Izzah Hanani Binti Suhaimi 
Disemak Oleh: Tuan Abu Suffian Bin Abu Yaziz