
Peserta lawatan bergambar bersama pegawai dan kakitangan JKSN Sabah
Pada 2hb hingga 5hb Julai 2009, Kelab Sukan dan Kebajikan, Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) telah mengadakan Lawatan Kerja ke Kota Kinabalu, Sabah di mana antara objektif lawatan ini adalah untuk meningkatkan mutu kerja semua kakitangan dalam melaksanakan MS ISO 9001-2008. Lawatan ini diketuai oleh Datuk Mahammad bin Ibrahim selaku Ketua Hakim Syarie MSNM bersama 30 peserta yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan Mahkamah.
Tempat-tempat yang telah dilawati sepanjang program tersebut adalah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSN Sabah), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Latihan Kundasang, Kaki Gunung Kinabalu, Muzium Negeri Sabah, Pasar Filipina dan Tamu Gaya di Kota Kinabalu.
Lawatan ke JKSN Sabah secara spesifiknya telah mendedahkan tentang pengurusan kes-kes Syariah yang diamalkan di jabatan tersebut di mana dapat dijadikan sebagai perbandingan oleh MSNM di dalam pelaksanaan kes-kes Syariah di Melaka. Selain itu, peserta telah diberikan taklimat berkenaan Pusat Penyelidikan dan Latihan Marin di UMS, Masjid UMS dan kawasan-kawasan sekitar UMS.
Program ini secara tidak langsung telah merapatkan ukhuwah antara peserta-peserta lawatan agar dapat berganding bahu untuk sama-sama memberi komitmen dalam menjalankan tugas masing-masing di MSNM.
Warga Kelab Sukan dan Kebajikan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program Lawatan Kerja Ke Sabah 2009.