Kemaskini

Terakhir dikemaskini : 17 April 2014
You are here: Laman Utama
PERNIKAHAN PDF Cetak E-mail

SOALAN 1 :
Bagaimana cara saya ingin berpoligami dan apakah prosedur permohonan poligami ?

JAWAPAN :
1. Failkan permohonan beserta afidavit ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka.
2. Pastikan semua dokumen sokongan lengkap (sila rujuk senarai semak borang permohonan seperti di ruangan muat turun borang).
3. Pastikan anda memenuhi kehendak Seksyen 23 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002.
4. Hadir pada hari sebutan dengan mengemukakan keterangan dan saksi-saksi termasuk keterangan isteri dan bakal isteri serta wali.

SOALAN 2 :
Suami saya telah berpoligami tanpa pengetahuan saya. Apakah yang harus saya lakukan?

JAWAPAN :
Sekiranya pernikahan poligami tersebut disahkan oleh mahkamah, puan boleh memohon perintah nafkah diri puan, nafkah anak,  harta sepencarian, hutang dalam perkahwinan, tunggakkan nafkah isteri dan anak serta hak tempat tinggal.

SOALAN 3 :
Dalam keadaan bagaimanakah pernikahan secara wali hakim boleh dipohon di mahkamah ?

JAWAPAN :
Mereka yang boleh memohon ialah di antaranya :
1. Saudara baru (muallaf) yang tidak mempunyai wali nasab yang beragama islam.
2. Wali ghaib
3. Wali enggan
4. Anak tak sah taraf
5. Wali dalam ihram

SOALAN 4 :
Dalam keadaan bagaimana pernikahan perlu mendapat kebenaran mahkamah syariah ?

JAWAPAN :
Sesuatu perkahwinan perlu mendapat kebenaran Mahkamah (Seksyen 18 Enakmen Undang- Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002)
1. Perkahwinan bawah umur (lelaki kurang 18 tahun, perempuan kurang 16 tahun)
2. Seorang janda berhias ( isteri diceraikan tanpa disetubuhi )
3. Perempuan tidak mempunyai wali nassab mengikut Hukum Syarak

SOALAN 5 :
Saya telah bertunang dengan seorang perempuan setahun yang lepas dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan bulan Julai 2011. Tetapi malangnya seminggu sebelum majlis perkahwinan saya berlangsung, tunang saya telah memutuskan pertunangan dan tidak mahu meneruskan perkahwinan. Jadi apakah tindakan yang boleh saya ambil dalam perkara ini ? 

JAWAPAN :
Dalam perkara ini apabila salah satu pihak enggan atau ingkar meneruskan perkahwinan selepas pertunangan dilakukan, maka pihak tersebut telah ingkar tunang. Tuan dalam perkara ini bolehlah merujuk kepada mahkamah syariah untuk memulakan prosiding ke atas pihak yang ingkar berdasarkan enakmen yang sedia ada.

Tuan juga dinasihatkan berjumpa peguam syarie bagi mendapatkan nasihat sewajarnya dalam memfailkan permohonan ingkar tunang bagi membuktikan kewujudan keingkaran telah berlaku dan kos-kos yang terlibat dalam keingkaran tersebut.

Merujuk kepada Seksyen 15, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 iaitu jika mana-mana orang telah mengikat suatu pertunangan mengikut Hukum Syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantara dan kemudiaannya enggan berkahwin denagn pihak satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulakan pemberian-pemberian pertunangan, jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian itu boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah.

SOALAN 6 :
Saya berkahwin kira-kira 5 tahun lalu. Sepanjang perkahwinan itu suami saya sering memukul saya hingga cedera. Pernah juga tangan saya patah kerana dipukul dengan tukul tetapi saya hanya beritahu doktor saya terjatuh selepas diberi amaran oleh suami. Saya sudah tidak sanggup menahan penderitaan ini tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukan. Pada masa ini saya langsung tidak dibenarkan keluar rumah kerana muka dan badan saya ada kesan lebam dipukul suami. Jadi apa yang saya haruskan untuk membebaskan saya dari masalah ini terutama berkaitan perkahwinan saya?

JAWAPAN :
Dalam perkara ini puan boleh merujuk kes puan di Mahkamah syariah untuk membubarkan perkahwinan sama ada secara taklik atau fasakh.

Merujuk peruntukan undang-undang yang sedia ada di Melaka, puan bolehlah merujuk kepada seksyen 50 berkaitan perceraian di bawah ta’liq atau janji mahupun seksyen 53 berkaitan perintah untuk membubarkan perkahwinan atau fasakh  Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002.

Fasakh ialah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad tau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.

Fasakh juga bermaksud membatalkan ikatan perkahwinan melalui kuasa kadi dengan sebab-sebab tertentu tanpa ucapan talak. Kedua-dua pasangan suami isteri tidak sanggup lagi untuk meneruskan perkahwinan, dan sekiranya diteruskan juga, ia boleh menyebabkan keruntuhan rumahtangga.

Fasakh diharuskan untuk kebaikan kedua-dua pihak, sama ada pihak suami atau pihak isteri. Isteri boleh menuntut fasakh daripada suaminya di Mahkamah Syariah jika berlaku beberapa perkara, antaranya:

• Suami tidak bertanggungjawab menanggung nafkah zahir atau nafkah batin.
• Suami menghilangkan diri tanpa berita setelah sekian lama.
• Suami tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya (sekiranya suami beristeri lebih daripada satu).
• Suami menghidap penyakit merbahaya yang sukar untuk diubati.
• Suami tidak taat pada ajaran Islam dan suka melakukan perkara-perkara maksiat.
• Suami telah melakukan kezaliman ke atas dirinya (diri isteri), seperti memukul dan sebagainya.

Manakala Takliq ialah Perceraian melalui lafaz taklik ini diperakui sah di Malaysia, malah pengharusan ini diperuntukkan secara jelas dalam enakmen-enakmen keluarga Islam bagi setiap negeri di Malaysia. 

Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat perakuan taklik yang dibuat selepas perkahwian, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa peerceraian yang demikian telah berlaku. 

Adapun lafaz taklik yang dilafazkan oleh setiap suami atau yang disediakan oleh pihak pendaftar perkahwinan ialah lafaz taklik tersebut mengikat para suami daripada melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan si isteri. 

Di Malaysia setiap negeri mempunyai lafaz taklik tersendiri, pada dasarnya kesemua lafaz ini adalah untuk untuk mengikat suami daripada melakukan sesuatu yang boleh memudaratkan si isteri, oleh itu si isteri berhak meminta cerai taklik sekiranya suami melanggar apa yang ditaklikkannya. 

Puan juga dinasihatkan berjumpa peguam syarie bagi mendapatkan nasihat sewajarnya dalam memfailkan permohonan pembubaran perkahwinan itu.

Kesimpulannya, maka dalam kes puan ini, puan bolehlah menggunakan mana-mana seksyen yang telah dinyatakan tadi dalam membebaskan diri puan dari ikatan perkahwinan tersebut.

SOALAN 7 :
Adakah seseorang lelaki yang ingin berkahwin dengan gadis di bawah umur akan dikenakan denda apabila lelaki tersebut meminta kebenaran berkahwin dari mahkamah, dan berapakah denda yang harus dibayar?

JAWAPAN :
Tiada sebarang denda yang dikenakan kepada pasangan yang ingin berkahwin dibawah umur. Tetapi, pasangan tersebut hendaklah membuat Permohonan Kebenaran Kahwin Bawah Umur di Mahkamah Syariah di daerah tempat tinggal.

Merujuk kepada Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 menyatakan tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Jadi dengan adanya kebenaran kahwin bawah umur dari mahkamah, maka  barulah perkahwinan dapat diteruskan.

 
< Sebelumnya   Berikutnya >

1 Malaysia MSC Portal My Government Portal MAMPU Portal MDEC Portal Melaka Portal JKSM Website E-Syariah Portal


Hak Cipta Terpelihara © 2014, Mahkamah Syariah Negeri Melaka.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan Internet Explorer versi 6.0 dan ke atas dengan resolusi skrin 1024 x 768.
PENAFIAN | DASAR PRIVASI | DASAR KESELAMATAN