Kemaskini

Terakhir dikemaskini : 20 Oktober 2014
You are here: Laman Utama
PENCERAIAN PDF Cetak E-mail

SOALAN 1 :
Apakah jenis-jenis perceraian yang boleh difailkan ke mahkamah syariah?

JAWAPAN :
Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002, jenis perceraian yang boleh difailkan ialah :
a. Tuntutan perceraian
b. Pengesahan Perceraian
c. Tuntutan Fasakh
d. Tuntutan Pengesahan Takliq
e. Khuluk (Tebus Talaq)

SOALAN 2 :
Apakah hak yang boleh saya tuntut selepas perceraian? 

JAWAPAN :
(sekiranya masih hidup) Anda boleh membuat tuntutan nafkah anak, nafkah eddah, harta sepencarian, hak penjagaan anak (hadhanah), sagu hati perkahwinan (muta’ah), hak tempat tinggal semasa dalam eddah, hutang dalam perkahwinan, tunggakan nafkah isteri dan anak. Namun sekiranya pihak Defendan meninggal dunia (bercerai mati), anda boleh membuat tuntutan harta sepencarian , pembahagian harta pusaka (secara faraid) dan hutang dalam perkahwinan.

SOALAN 3 :
Adakah terdapat istilah ‘gantung tak bertali’ pada pandangan Fikh Islami ?

JAWAPAN :
Tidak ada. Anda boleh memohon cerai secara fasakh, pengesahan takliq, tebus talaq atau dengan kuasa hakam (perundingan) yang diperintahkan oleh mahkamah.

SOALAN 4 :
Apakah itu Cerai Ta'liq ?

JAWAPAN :
Ta'liq ertinya perjanjian yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Negeri. Cerai Ta'liq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran ke atas Ta'liq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.

SOALAN 5 :
Apakah itu Tebus Talaq (Khulu') ?

JAWAPAN :
Perceraian Tebus Talaq ialah satu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan wang atau harta benda sepertimana yang dipersetujui melalui ijab dan qabul. Cerai Khulu' adalah merupakan cerai Bain Sughra dan tidak boleh dirujuk melainkan dengan akad dan mas kahwin yang baru.

SOALAN 6 :
Apakah yang dimaksudkan dengan Fasakh ?

JAWAPAN :
Fasakh ialah pembubaran perkahwinan disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan fasakh ialah apabila suami atau isteri :

+ Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu (1) tahun.
+ Tidak mengadakan peruntukkan nafkah isteri selama tempoh tiga (3) bulan.
+ Telah dihukum penjara selama tempoh tiga (3) tahun atau lebih.
+ Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu (1) tahun.
+ Telah mati pucuk.
+ Telah gila selama tempoh dua (2) tahun.
+ Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
+ Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isterinya menderita.
+ Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
+ Memaksa isteri hidup secara lucah.
+ Melupuskan harta isteri.
+ Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
+ Tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak..
+ Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun empat (4) bulan telah berkahwin.
+ Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.

 SOALAN 7 :
Bagaimana pengiraan eddah selepas perceraian ?

JAWAPAN :
Pengiraan eddah berbeza berdasarkan keadaan seperti berikut  ;
1. Sekiranya isteri diceraikan tanpa setubuhi, maka tiada eddah baginya
2. Sekiranya isteri diceraikan dalam keadaan haid maka eddah sehingga suci daripada haid keempat
3. Sekiranya isteri diceraikan dalam keadaan yang bersih tanpa disetubuhi selepas haidnya maka eddah dikira

SOALAN 8 :
Apabila berlakunya penceraian, bolehkah pihak-pihak  dibenarkan menuntut harta sepencarian dan bagaimana mahkamah syariah membuat keputusan atau mekanisme yang digunakan untuk mengira jumlah nilai harta sepencarian?

JAWAPAN :
Harta sepencarian mengikut syarak ditafsirkan sebagai pemerolehan harta sepanjang tempoh perkahwinan sama ada membabitkan harta alih atau tak alih dan pihak yang memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Tuntutan biasanya ditimbulkan oleh isteri atau bekas isteri apabila membabitkan sumbangan mereka sepanjang tempoh perkahwinan sama ada secara tak langsung misalnya urusan menguruskan rumah tangga. Sumbangan secara langsung misalnya isteri mengeluarkan modal terutama dalam bentuk kewangan untuk mendapatkan harta dalam tempoh perkahwinan. Begitu juga jika satu pihak itu meninggal dunia, pasangan akan meminta harta itu dibahagikan dulu sebagai harta sepencarian sebelum diisytihar sebagai harta pusaka.

Pemilikan ke atas sesuatu harta bukan berdasarkan kepada nama atas harta itu semata-mata kerana nama tertera belum membuktikan dia pemilik sebenar. Kenyataan itu dibuat dengan maksud adalah satu kezaliman jika hak milik sesuatu harta hanya diambil kira berdasarkan nama atas harta itu semata-mata sedangkan pihak satu lagi mungkin menyumbang cuma namanya tidak dinyatakan ke atas harta berkenaan.

Rasional keharusan pembahagian harta sepencarian menunjukkan pengiktirafan syarak terhadap hak, habuan dan pemilikan pihak berusaha mendapatkan harta itu sepanjang perkahwinan. Hukum harta sepencarian tidak dinyata secara jelas. Cuma pembahagian itu dibuat bersandarkan kemaslahatan pihak atas prinsip keadilan dan hak.

Prosedur pembahagian harta sepencarian juga tidak dinyatakan secara tepat dalam hukum syarak. Merujuk kepada amalan biasa penghakiman di mahkamah syariah, pembahagian harta sepencarian ke atas seorang isteri ditentukan setakat harta yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan.
Ini termasuk sumbangan isteri menguruskan rumah tangga, menjaga anak, melayan suami, menyebabkan suami merasa kehidupan yang tenang dan dapat menumpukan kerjaya sehingga suami dapat memperoleh harta dalam tempoh perkahwinan mereka. Tuntutan terhadap harta sepencarian bukanlah dihadkan kepada isteri saja, malah suami juga berhak menuntut harta sepencarian daripada isteri.

Merujuk kepada seksyen 122 (1) hingga (5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002 menyatakan peruntukan undang-undang yang membolehkan harta sepencarian boleh dituntut.

SOALAN 9 :
Saya seorang ibu tunggal yang telah diceraikan oleh suami saya dan mempunyai 4 orang anak. Saya ingin bertanya kepada pihak mahkamah, jika saya ada masalah berkaitan pemberian nafkah oleh suami kepada anak-anak sedangkan telah ada perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah.Jadi di manakah saya boleh merujuk masalah saya ini?

JAWAPAN :
Dalam perkara ini apabila puan telah memperolehi perintah dari mahkamah syariah tentang pemberiaan nafkah dan bekas suami puan dengan sengaja cuai ataupun ingkar untuk melaksanakan perintah tersebut maka puan bolehlah merujuk masalah puan ini di mahkamah syariah berhampiran. Di mahkamah syariah terdapat satu unit yang dipanggil Bahagian Sokongan Kelurga (BSK) khususnya membantu mereka-mereka yang berhadapan dengan masalah pelaksanaan nafkah.

Di antara fungsi-fungsi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) ialah:

a) Meleraikan Konflik dihadapi wanita serta ibu tunggal yang berdepan masalah mendapatkan nafkah seperti diperintahkan mahkamah.
b) Melaksanakan penguatkuasaan ke atas perintah mahkamah khususnya dalam kes nafkah dan saraan.
c) Memberi khidmat nasihat perundangan Islam kepada orang awam.
d) Meyalurkan bantuan kewangan sara hidup sementara melalui sumber dana kewangan yang diharuskan hukum syarak kepada keluarga yang menghadapi masalah tuntutan nafkah.
e) Membetul salah faham terhadap kelewatan membabitkan masalah mematuhi perintah mahkamah seperti pembayaran nafkah dan hak penjagaan anak.

SOALAN 10 :
Apakah tindakan yang wajar dilakukan sekiranya penceraian berlaku di rumah?.

JAWAPAN :
Penceraian boleh berlaku di mana-mana sama ada di luar Mahkamah atau di dalam Mahkamah. Sekiranya penceraian berlaku di luar Mahkamah, maka pihak-pihak tersebut hendaklah membuat Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai di Mahkamah bagi menentukan kesahihan lafaz tersebut sama ada berlaku talaq ataupun tidak.

Merujuk kepada Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 menyatakan tentang pendaftaran penceraian di luar mahkamah.

 
< Sebelumnya   Berikutnya >

1 Malaysia MSC Portal My Government Portal MAMPU Portal MDEC Portal Melaka Portal JKSM Website E-Syariah Portal


Hak Cipta Terpelihara © 2014, Mahkamah Syariah Negeri Melaka.
Laman ini sesuai dipapar menggunakan Internet Explorer versi 6.0 dan ke atas dengan resolusi skrin 1024 x 768.
PENAFIAN | DASAR PRIVASI | DASAR KESELAMATAN